Saturday, 3 December 2016

Selamat datang Ke Blog Pendidikan GGGE2123

Selamat datang ke Blog Pendidikan Teknologi Dan Inovasi.Semoga perkongsian yang saya sampaikan memberi manfaat kepada semua.Teknologi dan inovasi mempunyai banyak kepentingan dalam pendidikan.Antaranya ialah :

1) Merangsang minda pelajar
Penggunaan teknologi dan inovasi dilihat dapat melibatkan pelbagai deria pelajar sama ada deria melihat dan mendengar. Sebagai contoh, penggunaan elemen dalam multimedia iaitu persembahan video yang lebih hidup dan realistik mampu meraih emosi seseorang pelajar dengan lebih mudah berbanding penggunaan imej atau media lain yang statik sifatnya. Seterusnya, penggunaan animasi yang menggambarkan pergerakan planet di dalam sistem suria juga akan lebih digemari oleh para pelajar serta mampu menerangkan konsep yang ingin disampaikan dengan lebih mudah berbanding paparan imej-imej planet yang bersifat statik. Pelajar akan lebih terdorong untuk menggunakan minda mereka dalam proses pembelajaran apabila pengajaran guru itu adalah bersifat menarik dan mudah difahami oleh mereka.


2) Komunikasi dua hala
Penggunaan teknologi dan inovasi juga membolehkan pelajar berkomunikasi secara dua hala. Komunikasi secara dua hala adalah interaksi yang berlaku antara pelajar dengan pelajar dan guru dengan pelajar. Contohnya, penayangan video tentang proses kejadian gerhana matahari dalam matapelajaran Sains. Guru boleh menghentikan, mempercepatkan ataupun memutar kembali video tersebut untuk meningkatkan kefahaman pelajar tentang sesuatu isi pengajaran yang diajar.

3) Celik IT
Guru yang mengaplikasikan ICT dalam proses P&P mereka bukan sahaja dapat memupuk budaya celik IT di dalam diri mereka sendiri tetapi juga di kalangan pelajar. Penggunaan ICT membolehkan guru sentiasa mengetahui dan meneroka sumber-sumber baru bagi dimasukkan dalam pengajaran mereka. Ini secara langsung menjadikan guru tersebut sentiasa mengikuti peredaran semasa dan mengalikasikannya dalam pengajaran. Situasi ini menyebabkan pelajar tidak akan berasa bosan dan malas untuk belajar kerana mereka tahu bahawa guru-guru mereka sentiasa mempunyai bahan-bahan yang menarik untuk dipelajari. Secara tidak langsung, penggunaan ICT dalam pengajaran menjadikan pelajar-pelajar pada zaman sekarang mahir dalam teknologi dan inovasi serta boleh menggunakannya bagi tujuan yang berfaedah seperti pembelajaran.

4) Menarik minat pelajarSelain merangsang minda pelajar seperti yang dinyatakan di atas, penggunaan ICT dalam bilik darjah juga dapat menarik minat pelajar untuk menghayati dan memahami sesuatu topik yang dibincangkan dengan lebih jelas serta mudah difahami. Ianya dapat memaksimumkan penglibatan pelajar di dalam kelas dan mereka akan menjadi lebih aktif dalam membuat perbincangan, bertanyakan soalan kepada guru dan sebagainya. Contohnya, dalam matapelajaran Sejarah, pelajar akan lebih menghayati subjek tersebut jika guru menggunakan tayangan video tentang sejarah Hang Tuah dan meminta pelajar untuk mencari maklumat mengenai sejarah Melaka menggunakan internet.


5) Menjimatkan masa, tenaga dan wang
Penggunaan teknologi juga dapat melicinkan proses P&P kerana guru boleh memberikan tumpuan kepada isi-isi penting sahaja untuk dimasukkan ke dalam slaid Powerpoint. Slaid yang ringkas dan padat memudahkan pelajar untuk mendapatkan isi pengajaran yang disampaikan oleh guru. Mereka tidak lagi perlu menyalin semua nota secara bulat-bulat sebaliknya diajar mencari hanya isi-isi penting sahaja. Selain daripada itu, guru-guru juga tidak perlu lagi memberikan nota tangan kepada pelajar tetapi boleh memuatkannya dalam bentuk softcopy supaya mudah diakses oleh para pelajar. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa guru tidak perlu bersusah payah lagi menghabiskan wang untuk membuat salianan nota atau latihan kepada pelajar.

Sekian Terima Kasih

No comments:

Post a Comment